Dua pemain tenis negara, Syed Mohd Agil Syed Naguib dan Shamirul Shahril Adam Das, masih menunggu lampu hijau daripada kedutaan Malaysia untuk pulang ke tanah air selepas dua minggu menjalani latihan di Mesir.

Program latihan selama lima minggu dan beberapa kejohanan di Mesir buat Syed Mohd Agil dan Shamirul Sahril itu terpaksa dibatalkan ekoran penularan wabak Covid-19 yang semakin meruncing.

Dua atlet tenis negara itu hanya sempat menyertai dua saingan jelajah tenis dunia berbanding lima seperti yang dirancang.

"Pergerakan kami untuk pulang ke Malaysia masih belum pasti sama ada tiket penerbangan kami akan dibatalkan ataupun tidak," kaya Syed Mohd Agil.

"Waktu penerbangan masih dipinda dan ditunda.

"Penerbangan pertama kami pada 20 Mac ini telah dibatalkan dan kami perlu membeli tiket penerbangan baru.

"Kosnya memang terlalu mahal, setiap seorang perlu membayar AS$1,400," katanya.