Tidak beraksi lama ada impaknya seperti apa yang sedang dilalui atlet boling tenpin wanita negara, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, yang khuatir memikirkan peralatannya di venue latihan.

Peralatan sukannya mula rosak setelah hampir dua bulan tidak berlatih ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sekali gus boleh mengakibatkannya kerugian beribu ringgit.

Peralatan itu perlu sentiasa dalam keadaan baik bagi mengekalkan ketepatan teknik selain kecergasan fizikal dan minda atlet.

Ia membawa berita menggusarkan buat Syaidatul Afifah yang hanya sempat menggunakan bola baru yang dibelinya sebagai persiapan ke Kejohanan Jelajah Wanita Dunia 2020 di Amerika Syarikat (AS), sehari sebelum penguatkuasaan PKP Mac lalu.

"Saya masih perlu faham karakter bola itu tetapi peralatan saya semuanya tersimpan di pusat latihan, Sunway Mega Lanes.

"Baru-baru ini ada rakan sepasukan yang berkunjung ke sana dan mendapati ada bola yang merekah kerana lama tidak digunakan.

"Ini kerana ada bola yang menyerap minyak selain keadaan tempat itu yang panas.

"Saya risau ia terjadi ke atas 15 bola saya di sana," katanya menerusi panggilan video kepada wakil Nadi Arena, Norhaliza Hamzah, hari ini.

Menurutnya lagi, Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) berusaha untuk membolehkan mereka memulakan latihan segera. Bagaimanapun, usaha itu gagal mendapat lampu hijau daripada Majlis Sukan Negara (MSN).

"Cadangan MTBC telah ditolak oleh MSN kerana berkaitan daripada segi keselamatan.

"Ini kerana tempat latihan kami diadakan di dalam kompleks membeli belah jadi kami tidak dibenarkan berlatih memandangkan PKP Bersyarat yang membenarkan pengunjung ke sana.

"Mungkin MTBC akan usulkan ia ditutup kepada pengunjung biasa dan hanya membenarkan enam atlet berlatih dalam setiap dua sesi, pagi dan petang."