Jurulatih skuad olahraga negara, M. Balamurugan, berada dalam keadaan berjaga-jaga setelah dia diminta mengkuarantinkan diri kerana mempunyai kontak rapat dengan atlet baling tukul besi negara, Jakie Wong, yang merupakan atlet pertama negara disahkan dijangkiti wabak Covid-19 beberapa hari lalu.

Jurulatih itu hanya mengetahui perkara berkenaan pada 14 Mac lalu setelah dihubungi oleh Institut Sukan Negara (ISN).

Ia selepas dia didapati bersalaman dengan Jackie di dalam gimnasium menerusi rakaman video kamera litar tertutup (CCTV).

Balamurugan membuat pemeriksaan saringan di Hospital Manjung dan keputusannya akan diketahui esok.

Setakat ini, tiada sebarang simptom jangkitan ditunjukkannya tetapi dia enggan mengambil risiko dengan mengasingkan dirinya di rumah sepanjang tempoh kuarantin itu.

"Sebab kami tidak jangka ia akan merebak dengan cepat.

"Sewaktu saya dapat tahu pun, saya tiada apa-apa simptom.

"Tetapi untuk keselamatan, saya terus ke klinik kesihatan untuk menjalani pemeriksaan.

"Doktor kata kalau ada apa-apa simptom, saya perlu datang kembali.

"Mereka kemudian menyarankan saya untuk manjalankan kuarantin sendiri.

"Hospital Manjung menghubungi saya dan mengambil sampel air liur saya Jumaat lalu.

"Keputusannya akan diketahui dalam tempoh 72 jam," katanya.