Chun Yong mahu pastikan Malaysia bangkit

Oleh Staff Writer 12 Januari 2020 93
Chun Yong mahu pastikan Malaysia bangkit
Ketua jurulatih skuad futsal lelaki negara, Chiew Chun Yong, mengambil iktibar daripada kempen mengecewakan dalam Piala AFF tahun lalu dengan merangka persiapan awal untuk menamatkan kemarau 19 tahun kejuaraan.

Selaku naib juara lima kali Piala AFF, Malaysia mengharungi kempen memalukan dalam edisi tahun lalu di Vietnam apabila bukan sahaja terkandas di peringkat kumpulan, malah menghuni tangga tercorot.

Justeru, persiapan awal akan bermula pertengahan bulan ini bagi menghadapi saingan tahun ini dalam usaha memulihkan semula maruah skuad kebangsaan.

Pengendali itu juga sudah memanggil 20 pemain untuk menyertai kem latihan bagi menghadapi kejohanan pemanas badan pertama tahun ini, bermula dengan Kejohanan Futsal Antarabangsa Songkhla, Thailand, bulan depan.

"Saya lega apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memberikan kami peluang untuk melakukan persiapan serta pendedahan awal pada Jun atau Julai depan," katanya.

Pertambahan pasukan dalam saingan Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) musim ini kepada 12 pencabar juga memberikan perkhabaran gembira buat jurulatih itu dalam usahanya membawa muka baru dalam pasukan kebangsaan.

"Sejujurnya, MPFL adalah medan utama untuk saya memilih pemain. Saya gembira melihat kini ada 12 pasukan, jadi akan lebih ramai pilihan yang ada."



Editor: Nafis Abdullah

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen