Masa depan skuad bola keranjang lelaki negara semakin kelam susulan peletakan jawatan ketua jurulatihnya, Goh Cheng Huat.

Perkembangan itu disahkan Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) menerusi Pengurus Besarnya, Ken Yap.

Sekalipun belum membuat pengumuman rasmi, MABA menerima keputusan Cheng Huat itu dengan hati terbuka.

Ia susulan kegagalan skuad lelaki negara untuk menyumbang pingat dalam Sukan SEA Kuala Lumpur Ogos lalu, malah tersingkir pada peringkat kumpulan.

"Jurulatih Goh (Cheng Huat) sudah meletakkan jawatan dan MABA telah menerimanya," katanya.

"Kami merakamkan penghargaan kepadanya kerana berkhidmat dengan pasukan kebangsaan. Dia telah melakukan tugas dengan hebat dalam aspek pembangunan mahupun membawa pasukan sejauh ini.

"Pada masa ini, kami sedang mencari jurulatih baru untuk pasukan bola keranjang kebangsaan."

Bagaimanapun, jelasnya, MABA tidak akan terburu-buru mencari pengganti Cheng Huat dengan keutamaan badan induk itu adalah untuk meluaskan kelompok bakat bagi skuad negara.

Tambah Yap, ia bagi memudahkan tugas jurulatih baru skuad negara untuk membentuk pasukan lebih berkualiti pada masa akan datang.

"Kami tidak akan terburu-buru (melantik jurulatih) sekarang. Kami sedang menyesuaikan diri dengan sistem baru dan membuat panggilan pemain. Kami mungkin memanggil jurulatih tempatan untuk tempoh berbeza-beza berdasarkan kejohanan.

"Tahun depan mungkin akan menjadi musim percubaan bagi kami di mana kami sedang menyesuaikan diri dengan sistem baru," ujarnya.

Skuad bola keranjang negara kini menduduki tangga ke-101 dunia dan meraih tempat kelima dalam Sukan SEA Kuala Lumpur.