"Hanya pentas persediaan."

Itu fokus ketua jurulatih skuad olahraga paralimpik negara, R. Jeganathan, terhadap anak didiknya, Siti Nor Iasah Ariffin dan Nasharudin Mohamad, bagi Kejohanan Global INAS di Brisbane, Australia yang bakal berlangsung 12 hingga 19 oktober ini.

Kontinjen negara bakal membuat penampilan pertama dalam saingan itu tetapi Jeganathan hanya melihat kejohanan itu sebagai pentas persiapan untuk beberapa atlet seperti pemenang pingat emas Sukan Para Asia 2018, Siti Iasah, dalam acara 400 meter sebelum mereka bertolak ke Kejohanan Dunia Olahraga Para, 7 hingga 15 November depan.

"Dalam Kejohanan Dunia, saya mahu lihat catatan masa, kelemahan dan kekuatan. Dalam tempoh setahun, kami mahu lakukan persiapan. Saya hanya mahu lihat kedudukan mereka," kata pengendali itu.

Bagi Siti Iasah, Kejohanan Dunia INAS memberi peluang untuknya memperbaiki catatan masa peribadi tatkala dia juga sedang juga sedang memburu slot kelayakan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 untuk menebus kekecewaannya ketika edisi Rio 2016 yang berakhir dengan gangsa.

"Saya tak tahu sekuat mana saingan di Brisbane tetapi saya akan jadikannya sebagai persiapan untuk Kejohanan Olahraga Para Dunia di Dubai (November) dan persediaan ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020. Ini kerana saya mahu tebus kekecewaan ketika di Rio 2016," katanya.