Pasukan kriket B-19 tahun negara berdepan misi getir dalam Kejohanan Kriket Piala Belia Asia yang akan berlangsung dari 9 hingga 20 November ini selepas diundi bersama juara bertahan, India, selain Bangladesh dan Nepal.

Ketua pasukan, Virandeep Singh, mengakui sukar buat negara mencuri slot ke separuh akhir dengan sasaran paling realistik ialah mendapatkan satu kemenangan ke atas Nepal.

Jika berjaya mendapatkan kemenangan, ia dilihat sudah baik untuk memperbaiki rekod dalam kejohanan tahun lalu yang menyaksikan skuad negara tewas dalam kesemua perlawanan.

“Nepal adalah pasukan yang boleh ditewaskan. Kita pernah mengalahkan mereka pada 2013. Saya juga menjadi sebahagian daripada pasukan pada ketika itu. Kami tidak sabar untuk mengulanginya sekali lagi. Kami tidak sabar untuk mencabar pasukan itu,” kata Virandeep.

Sementara itu, bowler negara, Hafiz Khair, tidak menafikan jurang ketara skuad negara dengan India dan Bangladesh.

Namun, dia melihat perkara itu daripada sudut positif dan dengan mengambil pengalaman ini untuk barisan pemain muda negara.

“Kita akan mendapat pengalaman yang sangat bagus. Ini bukan mudah untuk kita layak ke Piala Asia. Jadi, kita selaku penganjur sangat beruntung dapat bermain dalam piala itu. Saya berharap pasukan saya dapat mengambil seberapa banyak pengalaman dalam Piala Asia nanti,” kata Hafiz.

Skuad negara akan membuka tirai perlawanan Kumpulan A bertemu India, 10 November ini di Akademi Kinrara Oval.