Penunggang kuda negara, Mohd Bulkhari Rozali, menepati ramalan apabila muncul juara Kejohanan Kuda Lasak Antarabangsa Piala Sultan Mizan di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP), Lembah Bidong, Setiu, hari ini.

Bulkhari turut mencuri tumpuan dengan rekod baharu kejohanan, 6 jam 12 minit 32 saat, sekaligus memadam catatan sebelum ini 6:16:21s.

Masih segar dengan kejayaan pingat perak dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Bulkhari, 29, membawa pulang wang tunai RM20,000, trofi serta medal selaku juara.

Di kedudukan kedua ialah Bheom Seo dari Korea Selatan yang menamatkan perlumbaan sejauh 120km itu dalam masa 7:40:02s untuk meraih hadiah RM15,000 dan trofi.

Dengan catatan 7:40:26s, Asri Abdul Aziz terpaksa berpuas hati di tempat ketiga untuk memenangi wang RM10,000 berserta trofi.

Mewakili pasukan Royal Terengganu Endurance Stable (RTES), Bulkhari, Bheom Seo, Asri dan seorang lagi penunggang, Shahrul Affendy Ahmad, juga diumumkan pemenang bagi acara berpasukan dengan masa keseluruhan 21:33:00s.

Catatan masa itu membolehkan keempat-empat penunggang dihadiahkan wang tunai RM20,000, trofi dan medal.

Bulkhari berkata kejayaan hari ini begitu manis buat dirinya selepas terpaksa menanti sejak tiga tahun lalu untuk meraih kejuaraan dalam kejohanan Piala Sultan Mizan.

Lebih membanggakan ialah kemampuan kuda tunggangan, RTES Annaversary, untuk memperbaharui rekod kejohanan.

“Keyakinan saya semakin bertambah kerana ini adalah kuda yang sama memenangi pingat emas dalam temasya KL 2017,” ujarnya.