Timbalan Pengerusi 1, Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP), Datuk Dr Loga Bala Mohan, membantah keputusan menggugurkan angkat berat, teakwondo dan sepak takraw dalam Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018 yang dianggap terburu-buru.

MSWP sudah membelanjakan RM1.5 juta bagi mempersiapkan atlet dan jurulatih dalam ketiga-tiga sukan tersebut untuk temasya sukan itu tahun depan.

Mereka akan menanggung kerugian besar jika Majlis Sukan Negara (MSN) tidak mempertimbangkan semula keputusan itu.

"Pada bulan lalu, mereka baru membuat keputusan untuk menggugurkannya tetapi persiapan sudah dimulakan selepas Sukma Sarawak 2016. Tiba-tiba ia digugurkan.

"Kami bersetuju mereka mengeluarkannya tetapi untuk Sukma 2020," katanya.

MSWP meraih 11 pingat emas menerusi ketiga-tiga sukan itu dalam Sukma Sarawak tahun lalu.

Mereka menegaskan ini bukan soal pingat tetapi kerana kesan yang besar seperti 70 atlet dan jurulatih hilang pekerjaan.

"Kalau benar mereka menggugurkannya untuk Sukma yang akan datang, kami tidak akan memberikan bantuan elaun kepada atlet dan jurulatih. Kami jangkakan ia melibatkan 50 hingga 70 orang," kata Pengarah MSWP, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, minggu lalu mengumumkan Lembaga Pengurus MSN menggugurkan ketiga-tiga sukan itu daripada senarai sukan teras dan Sukma Perak 2018 di atas pelbagai faktor.