Ketua jurulatih skuad boling padang negara, Simon Botha, mahu mengetepikan urusan kerja berhubung kontrak yang masih belum ditawarkan terlebih dahulu bagi meraikan sambutan Krismas.

2018 merupakan sambutan Krismas kedua buat Botha dan keluarga di Malaysia selepas kali pertama meraikannya pada tahun 2012.

Satu kelainan dirasainya tahun ini dengan sambutan serba ringkas berbanding tahun lalu sewaktu mereka meraikan perayaan itu di kampung halaman di Afrika Selatan.

Botha memberi bayangan mungkin ia akan menjadi sambutan Krismas terakhirnya di Malaysia apabila belum membuat sebarang keputusan sama ada masih berminat untuk menyambung tugas selaku ketua jurulatih atau tidak seandainya kontrak baru ditawarkan kepadanya.

Hasil tunjuk ajar Botha, dia berjaya melahirkan atlet bertaraf dunia dengan kejayaan Soufi Rosli yang meraih pingat perak dalam Kejohanan Dunia tahun lalu di samping emas yang dijelmakan dalam Sukan Komanwel 2018.

"Tahun ini, saya gembira apabila keluarga hadir ke sini untuk meraikan Krismas di Malaysia.

"Dalam kes saya, saya masih belum menerima sebarang tawaran walaupun kontrak bersama Program Podium telah ditamatkan dua tahun lebih awal," kata Botha.