Tertekan dan terpaksa menyesuaikan diri dengan keadaan.

Itulah yang dihadapi pemain boling tenpin wanita negara, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, yang terpaksa berehat seketika daripada sukan itu selepas mengalami jangkitan paru-paru.


Bagai jatuh ditimpa tangga, atlet berusia 29 tahun itu mengakui belum puas menjalani latihan dan terpaksa melupakkannya demi rawatan yang sedang dijalani di Hospital Sunway, Petaling Jaya.

Jelas Syaidatul Afifah, keadaan kesihatannya tidak terlalu serius tetapi masih perlu bermalam selama beberapa hari lagi di hospital.

"Melalui ujian imbasan yang dilakukan, doktor mengenal pasti terdapat tompokan putih yang mencurigakan di dada kiri saya.

"Hari ini, doktor memberitahu bahawa terdapat jangkitan di kawasan itu yang membuatkan saya demam.

"Sekarang saya tak dapat berlatih sebab sakit. Ia membuatkan saya tertekan dan rasa tak gembira kerana semua rakan sepasukan saya sedang berlatih dan saya pula tidak.

"Dada pun masih sakit dan sukar untuk bernafas. Mujur tiada lagi kejohanan yang perlu disertai tahun ini," katanya.