Presiden Kongres Boling Tenpin Malaysia (MTBC), Datuk Dr P. S. Nathan, menganggap pencapaian terbaik yang diraih atlet negara dalam Kejohanan Boling Tenpin Lelaki Dunia baru-baru ini sebagai satu permulaan untuk mereka lebih bersedia mengharungi cabaran besar tahun depan.

Jika sebelum ini, tumpuan lebih terarah kepada pasukan wanita yang pernah bergelar juara dalam Kejohanan Dunia Las Vegas tahun lalu, sudah tiba masanya untuk skuad lelaki meneruskan momentum memecah dominasi lawan di peringkat dunia.

Nyata, kejayaan pasangan beregu lelaki, Adrian Ang dan Tun Ameerul Hakim Tun Hasnul Azam serta Rafiq Ismail yang bergelar juara dunia di Hong Kong adalah sesuatu yang tidak dijangka oleh MTBC.

"Kebanyakan pemain akan berasa gentar dan terancam dengan nama besar seperti Amerika Syarikat (AS) dan Jepun.

"Para pemain menganggap ia sukar diatasi. Jadi, ini sesuatu yang saya mahu perbaiki.

"Falsafah saya adalah pemain negara harus berlatih dengan bijak dan bermain dengan bijak.

"Pemain negara tidak seharusnya sekadar meluangkan masa selama beberapa jam dalam sesi latihan.

"Mereka harus belajar dan menguasai lontaran dari sudut berbeza," ujar beliau.