PDRM mencipta kebangkitan untuk mengatasi Terengganu selepas ketinggalan dalam suku ketiga untuk meraih tempat ketiga dalam Kejohanan Bola Jaring Kebangsaan 2017 menerusi kemenangan 45-42 di Stadium Juara, Bukit Kiara, hari ini.

Semangat juang dan persembahan yang ditampilkan kedua-dua pasukan dalam saingan itu pagi tadi pasti akan membuat sesi pemilihan pasukan kebangsaan bertambah sengit untuk menghadapi Kejohanan Asia di Singapura nanti.

Terengganu dan PDRM bersaing hebat sejak suku pertama apabila saling mengejar kutipan mata.

Suku pertama menjadi milik PDRM yang berkelebihan dua mata mengatasi Terengganu. Memasuki suku kedua, Terengganu bangkit memberi saingan yang lebih ampuh, sekaligus permainan bertambah menarik sehingga mendapat sorakan gemuruh daripada penyokong.

Terengganu akhirnya menebus kekalahan suku pertama apabila menguasai suku kedua dengan kelebihan tipi, 23-22.

Aksi sengit berterusan apabila Terengganu mengekalkan kelebihan satu mata untuk mengakhiri suku ketiga 33-32.

Namun, ceritanya berbeza dalam suku terakhir apabila PDRM bangkit pada saat-saat akhir permainan menerusi kemenangan 45-42 untuk merangkul tempat ketiga kejohanan.