Bola Jaring Kebangsaan: Kuala Lumpur kekal juara

Oleh Staff Writer 25 November 2018 171
Bola Jaring Kebangsaan: Kuala Lumpur kekal juara
Kuala Lumpur mengekalkan kejuaraan dalam Kejohanan Bola Jaring Kebangsaan apabila mudah menewaskan Terengganu 65-26 dalam perlawanan akhir, hari ini.

Kuala Lumpur, yang menamatkan kemarau kejuaraan tiga tahun dengan kemenangan menewaskan Johor tahun lalu, turun dalam final di Stadium Juara Bukit Kiara berbekalkan tekad untuk mempertahankan gelaran.

Setelah berjaya menewaskan Terengganu dalam saingan peringkat kumpulan sebelum ini, skuad kendalian Norizan Rajab itu jelas tidak berdepan masalah untuk mengetepikan cabaran lawan sekali lagi.

Dibarisi empat pemain kebangsaan, antaranya kapten negara, Nur Syafaz Liyana, dan penjaring gol, Puteri Intan Balqis Ahmad Dzulkifli, Kuala Lumpur ternyata berada dalam kelas tersendiri.

Puteri Intan Balqis memastikan Kuala Lumpur sentiasa di hadapan dengan balingan tepat ke jaring tatkala mereka turut mengekang serangan Terengganu.

Mendahului dalam setiap suku perlawanan, Kuala Lumpur menjulang kejuaraan kebangsaan buat kali kedua berturut-turut dengan kemenangan 65-26.

"Saya mengucapkan tahniah kepada barisan pemain saya, di mana gabungan tonggak senior dan muda menghasilkan satu kemenangan hatrik tahun ini setelah menjuarai Kejohanan Remaja, Mac lalu, dan Sukma 2018, September lalu.

"Ia satu pencapaian besar buat Persatuan Bola Jaring Kuala Lumpur. Kami berasa bangga atas kejayaan ini," kata Norizan.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen