Tiga rekod kebangsaan yang dipecahkan dalam Kejohanan Renang Asia memberi sedikit kelegaan buat jurulatih renang negara, Paul Birmingham, di sebalik tempoh persiapan singkat yang diharungi.

Malaysia mempertaruhkan barisan perenang muda dalam kejohanan yang berlangsung di Tokyo, Jepun, itu dengan diketuai Olimpian, Welson Sim.

Walaupun tidak meraih pingat, tiga rekod kebangsaan berjaya dipecahkan, masing-masing menerusi Wong Fu Kang dalam acara 50 meter kuak dada lelaki, Caroline Chan, 50 meter kuak lentang wanita, di samping kuartet 4x100 meter gaya bebas lelaki.

Paling mencuri tumpuan sudah pasti 4x100 meter kerana ini kali pertama Welson, Keith Lim, Yeap Zheng Yang dan Foong Wei Tze digandingkan bersama.

Mereka mencatat 3 minit 24.93 saat, mengatasi rekod yang dilakukan dalam Sukan SEA Singapura 2015, iaitu 3 minit 25.55 saat.

"Realitinya, selain Welson, tiga lagi perenang itu tidak pernah berenang sebagai kuartet negara dalam acara 4x100 meter gaya bebas.

"Kami telah mencuba untuk mempertingkatkan lagi prestasi perenang negara dalam acara gaya bebas tetapi jelas sekali Malaysia tidak memiliki perenang seperti Joseph Schooling dalam misi untuk mendapatkan pingat emas," ujar Birmingham.

Tiada lagi kejohanan yang akan disertai perenang negara tahun ini, dengan tumpuan utama sudah pasti terarah kepada persiapan untuk menghadapi Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Welson mengakui tidak berpuas hati dengan persembahannya secara keseluruhan dalam Kejohanan Asia.

"Secara keseluruhannya, untuk keputusan yang telah saya capai, saya tidak berpuas hati dengannya tetapi sekurang-kurangnya saya mengetahu di mana tahap saya ketika ini.

"Banyak yang perlu saya perbaiki dan banyak kerja-kerja yang perlu saya lakukan untuk beberapa bulan yang akan datang," jelasnya.