Berlatih di rumah bersama 'keluarga boling padang'

Oleh Willie Jude 23 April 2020 168
Berlatih di rumah bersama 'keluarga boling padang'
Walaupun sekadar berlatih di rumah, dua atlet boling padang Sabah, Mohd Hafiz Firdaus dan adiknya, Mohd Afif Aiman, mempunyai sedikit kelebihan kerana memiliki 'keluarga boling padang'.

Ayah mereka, Affendy Tan Abdullah, merupakan bekas pemain terbaik negara yang kini menjadi jurulatih bertauliah.

"Kami tidak dapat menjalani latihan (di gelanggang boling padang) disebabkan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), bukan pemain boling padang saja tetapi sukan lain juga mengalami nasib sama.

"Bagaimanapun, ia lebih sukar buat atlet boling padang kerana kami tidak mempunyai 'greens' (gelanggang boling padang) di rumah.

"Oleh itu, kami hanya dapat melakukan apa yang boleh dan sesuai untuk atlet boling padang bagi mengekalkan prestasi," kata Affendy.

Affendy ialah bekas pemain nombor satu negara dan pernah mewakili Malaysia ke Kejohanan Boling Padang Dunia di Scotland pada 2004.

Katanya, dua anaknya itu meneruskan latihan bagi mengekalkan kecergasan dengan melakukan larian, tekan tubi dan beberapa rutin lain.

"Sebagai bekas atlet, saya tahu jika terlalu lama tidak bermain di gelanggang sebenar atau dalam pertandingan, ia akan menjejaskan prestasi.

"Sebab itu saya pastikan mereka juga berlatih untuk mengekalkan kecergasan dan juga latihan balingan, saya tidak mahu mereka hilang rentak dan gerak hati dalam melakukan balingan.

"Harap-harap dengan melakukan semua ini, mereka akan sentiasa berada dalam keadaan bersedia apabila PKP berakhir," katanya lagi.

Selain itu, Affendy juga menggalakkan anak-anaknya menyaksikan aksi-aksi berkualiti pemain boling padang dunia menerusi media elektronik.

"Mungkin mereka dapat belajar sesuatu yang berguna dengan menyaksikan perlawanan dunia," katanya.

Firdaus, yang berada dalam kelompok lapan terbaik Kejohanan Juara Antara Juara peringkat kebangsaan Februari lalu, ialah salah seorang sandaran Sabah untuk mengutip pingat dalam Sukan Malaysia (SUKMA) 2020.

Adiknya, Afif, pula ialah antara pemain sedang meningkat yang mencuba untuk mendapatkan tempat dalam skuad SUKMA Sabah.

Tentang Penulis

Willie Jude

Komen