"Afiq Hafifi Rizan dan Khairul Adha Rasol hanya mengalami kecederaan ringan."

Itu komen jurulatih skuad berbasikal trek para negara, Salehuddin Moh Noh, tentang dua pelumba itu yang terlibat dengan kemalangan dalam Kejohanan Berbasikal Trek Para Dunia di Milton, Kanada.

Afiq dan jurumudinya, Khairul Adha, terlibat dengan kemalangan di velodrom dalam acara pecut 200 meter tandem ketika dicabar pelumba dari New Zealand untuk posisi ketujuh dan kelapan.

Segalanya berjalan lancar ketika pelumba negara itu memulakan perlumbaan malah ketika loceng dibunyikan, mereka berjaya mengatasi pelumba New Zealand berkenaan.

Namun, ketika perlumbaan berbaki 150m, rim hadapan basikal mereka mengalami kerosakan yang mengakibatkannya hilang kawalan.

Akibatnya, Afiq Afifi dan Khairul Adha terjatuh dan terseret sehingga ke tepi velodrom.

"Kecederaan mereka tidak serius cuma ada sedikit serpihan (kayu) yang tercucuk di sebelah paha kanan masing-masing dan mereka telah pun mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar menerusi bantuan pasukan perubatan di velodrom.

Skuad basikal para negara meraih pingat gangsa di Kanada menerusi Mohd Yusof Hafizi Shaharudin dalam acara 15km scratch C1 untuk menambah kutipan mata dalam misi untuk layak ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Editor: Shaiful Shamsudin