Skuad basikal trek negara dilanda gelombang persaraan apabila dua lagi pelumbanya mengucapkan selamat tinggal kepada kem kebangsaan.

Ia selepas pengumuman mengejutkan ratu berbasikal trek negara, Fatehah Mustapa, untuk bersara bulan lalu.

Dua pelumba yang dimaksudkan itu adalah pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Mohd Shariz Afendi Mohd Shahrin, dan bekas rakan sepasukannya, Khairil Nizam Rasol.

Menerusi satu perkongsian menerusi perbualan video bersama wartawan Nadi Arena, Adam Zamri, Shariz Afendi berkata: "Saya dan Ayil (Khairil Nizam) pada asalnya memang skuad dengan Azizul(hasni Awang) di Melbourne tetapi selepas kami terpaksa diasingkan, saya berfikir jika kontrak saya disambung, saya akan terus berkayuh.

"Tetapi kontrak saya tidak disambung, jadi kami memilih jalan masing-masing.

"Sebagai atlet, jika tidak memberikan 100 peratus, ia hanya membazir sebab kami sememangnya akan memberikan 100 peratus sewaktu latihan dan perlumbaan

"Tetapi kalau sudah tiada rezeki hendak buat macam mana," katanya.

Mengulas mengenai masa depannya, Shariz Afendi menambah: "Sekarang masih PKP (perintah kawalan pergerakan) dan saya sepatutnya mencuba untuk menjadi jurulatih pasukan Selangor bulan lalu

"Saya sudah habis berkhidmat, jadi saya mahu menaburkan ilmu buat atlet muda di peringkat negeri."

Bagi Khairil Nizam pula, dia meletakkan keluarga sebagai keutamaan sebelum membuat keputusan untuk meninggalkan skuad kebangsaan semalam.

"Saya lebih gemar untuk berada lebih dekat dengan keluarga kecil saya supaya saya boleh menjaga mereka.

"Mungkin silap saya juga kerana prestasi menurun sehingga MSN (Majlis Sukan Negara) mengambil keputusan untuk menggugurkan saya.

"Peluang yang saya ada ini juga amat bermakna kerana lebih dekat dengan keluarga saya.

"Tetapi jika diberikan peluang, saya mahu terus berkhidmat untuk negara.

"Jika tiada, saya perlu meneruskan perkerjaan saya kerana saya ada tanggungjawab sebagai seorang bapa dan suami," katanya.