Belanjawan 2020 terus melestarikan usaha Malaysia untuk terus berkembang sebagai sebuah negara sukan dengan beberapa peruntukan khas berupaya memenuhi potensi sebenar atlet negara.

"Peruntukan yang telah diberikan adalah untuk persiapan atlet ke Sukan Olimpik dan Paralimpik, Sukan SEA Hanoi 2021 dan pembangunan keseluruhan sukan di Malaysia," kata Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

"Suntikan dana khas telah diberikan untuk pembangunan atlet wanita serta dana kepada persatuan-persatuan sukan bagi mengetengahkan lagi peranan wanita dalam bidang ini," kata Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Komuniti sukan Malaysia mampu tersenyum apabila sukan menerima peruntukan lebih besar menerusi pembentangan Belanjawan 2020 semalam berbanding sebelum ini.

Antara aspek positif ialah RM10 juta diperuntukkan untuk memastikan pembangunan atlet wanita.

Tidak ketinggalan, sukan elektronik yang masih baru dalam arena sukan Malaysia menerima RM20 juta, sekali gus menyaksikan lonjakan besar berbanding RM10 juta dalam Belanjawan 2019.

Tidak terkecuali Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) yang menyaksikan peruntukan tambahan daripada RM15 juta kepada RM45 juta tahun depan.

Dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM553 juta bagi Belanjawan 2020 kali ini, sukan dilihat menerima tempias positif, khususnya daripada aspek penyediaan atlet dan juga menjelang temasya sukan besar seperti Sukan Olimpik. Ia dilihat bajet yang gembira pastinya buat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan MSN.



"Ambil perkara ini sebagai dorongan untuk mempertingkatkan lagi mutu sukan dalam kalangan wanita," kata bekas atlet olahraga negara, Datuk Mumtaz Jaafar.

"Ramai yang berpandangan sukan bukan untuk wanita dan saya berasakan daripada peringkat akar umbi harus memainkan peranan untuk mengetengahkan sukan dalam kalangan wanita," kata penerjun negara, Leong Mun Yee.

"E-Sukan adalah sesuatu yang baru. Pihak Kerajaan memberikan peruntukkan yang besar. Apabila mereka kini seiring dengan sukan-sukan teras yang lain, mereka akan dinilai secara adil," Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Seri Norza Zakaria.

kredit foto: Harian Metro