Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, mengumumkan kerajaan memperuntukkan sejumlah RM 1.2 bilion untuk pembangunan sukan dalam Bajet 2017 yang dibentangkan di Parlimen, petang ini.

Memandang kembali ke arah kecemerlangan sukan negara dengan meraih empat pingat perak dan satu pingat gangsa di Sukan Olimpik 2016 serta kejayaan merangkul tiga pingat emas dan satu gangsa di Sukan Paralimpik 2016, Perdana Menteri mengumumkan sejumlah RM450 juta bagi penganjuran Sukan SEA Kuala Lumpur dan Sukan Para Asean 2017.

Selain itu, beberapa program pembangunan sukan akan dilaksanakan dan RM50 juta diperuntukkan bagi pembinaan fasa dua Akademi Bola Sepak di Gambang, Pahang.

Seterusnya RM122 juta diperuntukkan bagi membina dan menaik taraf fasiliti sukan untuk Kompleks Belia dan Sukan Negeri, Kompleks Futsal 1 Malaysia dan Kompleks Sukan Komuniti.

Dalam pada itu, RM70 juta bakal diberikan kepada Program Podium sukan elit, sebagai penyediaan atlet ke temasya sukan antarabangsa dan RM54 juta kepada program pembangunan ahli sukan, termasuk penyediaan atlet dan program Paralimpik.