Atlet angkat berat negara, Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad, tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya apabila dirinya turut terkesan dengan isu doping yang melanda atlet lain.

Jika sebelum ini nama seperti Mohd Hafifi Mansor, Constantine Clement dan Mohd Nasir Roslan pernah dikaitkan dengan isu tersebut, kini Malaysia sekali lagi dilanda masalah sama apabila pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel 2018, Fazrul Azrie Mohdad, dan tiga atlet remaja berusia 16 tahun didapati positif mengambil bahan terlarang.

Situasi itu membuatkan Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) bertindak menggantung semua atlet daripada sebarang kejohanan antarabangsa, sekaligus membuatkan Azroy kecewa kerana dirinya tidak pernah cuba untuk mendekatkan diri dengan sebarang kontroversi seumpamanya.

"Saya terkilan dan sedih apabila mengetahui sukan angkat berat digantung daripada mana-mana kejohanan antarabangsa. Saya harap keputusan yang dilakukan itu dapat mengecualikan nama saya daripada penggantungan.

"Saya tidak menjangkakan nama saya juga terkena tempiasnya kerana saya adalah atlet daripada Program Podium bersama Aznil Bidin tetapi terpaksa redha. Bagaimanapun, semangat sememangnya terjejas apabila perkara sebegini berlaku," ujarnya.

Dalam masa sama, Azroy juga menegaskan bahawa orang ramai masih perlu didedahkan tentang segala jenis penggunaan dadah yang dibenarkan dalam sukan bagi mengelakkan persepsi yang tidak enak daripada mereka.

"Sebenarnya steroid digunakan untuk menambah hormon dalam badan dan tidak pelik apabila atlet angkat berat dikaitkan dengan isu salah guna.

"Jangan mudah untuk memandang rendah kepada sukan angkat berat kerana kami adalah penyumbang utama pingat buat negara ketika kejohanan besar seperti Sukan Komanwel.

"Jangan hina sukan kami.

"Sukan ini bukan datangnya daripada golongan kaya dan berbeza dengan sesetengah sukan. Jadi, jangan mudah menghina dan memandang serong kepada kami.

"Steroid adalah sejenis dadah yang dibenarkan mengikut dos tetapi orang yang tidak tahu menganggap semua dalam kalangan kami menggunakannya secara terlarang," katanya lagi.