Pelumba basikal trek negara, Azizulhasni Awang, mengulangi bahawa pingat emas Sukan Olimpik tahun depan tetap menjadi matlamat tertingginya di sebalik pelbagai rintangan, termasuk jarinya yang hampir terputus.​

The Pocket Rocketman, yang masih segar dengan kejayaan meraih satu emas dan satu perak dalam Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di Korea Selatan, sempat berkongsi pengalamannya serta membincangkan persiapan untuk layak ke temasya Tokyo 2020.

Ikuti sedutan temu bual Jun Yong dengannya dalam Nadi@1 hari ini:

Q: Tahniah kepada Azizulhasni kerana berjaya membawa pulang satu emas dan satu perak dalam Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di Korea Selatan. Apakah perasaan anda selepas meraih pencapaian luar biasa dengan merangkul emas yang ke-10 dalam kejohanan ini?

A: Pencapaian ini boleh digambarkan seperti filem Bollywood sebenarnya. Empat minggu sebelum kejohanan, saya mengalami kecederaan apabila jari hampir putus dan terpaksa berehat seketika dan tidak mampu untuk menjalani latihan yang intensif. Namun, semangat kental yang dimiliki mendorong saya untuk beraksi dan berjaya meraih emas dalam acara pecut. Kemenangan ini merupakan yang ke-10 secara peribadi dan tiada pelumba lain berjaya melakukannya.

Q: Anda juga turut memberi bayangan berniat untuk menerbitkan buku, betul ke?

A: Sejak beberapa tahun yang lalu, ramai yang telah meminta untuk saya menerbitkan buku mengenai perjalanan saya sebagai atlet berbasikal trek. Saya memberikan sedikit bayangan mengenai persiapan dan perjalanan menghadapi kejohanan dan ia mendapat sambutan yang memberangsangkan. Saya seorang yang gemar bercerita dan mungkin selepas tamat Sukan Olimpik Tokyo 2020, saya akan menerbitkan sebuah buku.

Q: Apakah kesan kejayaan yang diraih di Korea Selatan kepada prospek kelayakan Sukan Olimpik kepada skuad negara?

A: Kejayaan dalam ACC memberikan impak yang positif buat skuad berbasikal trek negara untuk melayakkan diri ke Tokyo. Walaupun sekadar di tempat kedua dalam saingan keirin, ia memberikan mata yang banyak dan kini saya berada di landasan yang betul bagi memastikan tempat ke Sukan Olimpik. Emas acara pecut yang diraih turut meraih mata kelayakan bagi acara pecut.

Q: Lebih dikenali sebagai "raja keirin, tetapi ada yang tertanya-tanya mengapa prestasi Azizulhasni dalam acara pecut kini lebih cemerlang berbanding keirin?

A: Sebenarnya, latihan saya lebih mengetengahkan kepada keirin dan saya menyedari perlu memberikan tumpuan kepada acara pecut dan ia berhasil. Saya masih lagi mampu menampilkan aksi cemerlang dalam saingan keirin. Di Tokyo nanti, saya percaya mampu memberikan tumpuan kepada kedua-dua acara ini.

Q: Keirin atau pecut -- mana pilihan Azizulhasni?

A: Mestilah keirin.

Q: Di Rio 2016 anda meraih gangsa, apakah sasaran di Tokyo 2020 nanti?

A: Secara peribadi, saya mahu memenangi pingat emas dalam acara keirin atau pecut. Ia adalah sasaran paling tinggi bagi saya.

Q: Bergelar juara dunia pada 2017 dan meraih jersi pelangi, Azizulhasni percaya atau pun tidak mengenai 'sumpahan' jersi itu? (Sumpahan jersi pelangi merupakan satu fenomena di mana pelumba yang menyarung jersi itu mengalami nasib malang sesudah memenanginya)

A: Secara peribadi, saya tidak mempercayainya. Sumpahan itu lebih cenderung buat pelumba basikal lebuh raya. Apabila menyarung jersi selaku juara dunia, ramai pesaing lain akan berusaha untuk melakukan halangan dan ia sedikit-sebanyak menjadi punca pelumba yang menyarung jersi pelangi itu mengalami kesukaran hingga ditimpa kemalangan.