Pelumba sensasi negara, Azizulhasni Awang, menjadi simbol kekentalan atlet Asia Tenggara untuk mencabar bintang dunia bertubuh besar hingga merangkul deretan kejayaan di peringkat dunia dan kemuncaknya, pingat gangsa acara keirin dalam Sukan Olimpik Rio 2016.

Gambarnya ketika berdiri di podium di samping pemenang pingat emas, Jason Kenny dari Britain dan pemenang perak, Matthihs Buchli (Belanda), untuk penyampaian pingat yang dimenanginya di Brazil menyimpan seribu makna.

Ia tersebar ke seluruh dunia dengan persoalan bagaimana seorang atlet menafikan kekurangan fizikal untuk menaiki podium Olimpik Rio.

Berbekalkan ketinggian 165 sentimeter, Azizul menjadi lambang perjuangan atlet Asia Tenggara dalam mencabar bintang dunia.

"Pencapaian di Olimpik bukanlah pencapaian jangka pendek. Ia melibatkan satu proses rumit yang amat panjang sekali," katanya.

Ramai mengatakan Azizul berjaya kerana hasil didikan jurulatih negara, John Beasley, di Melbourne, Australia.

Namun, jika tidak kerana semangat juangnya selepas kemalangan pada 2011, Azizul tidak akan menaiki podium Olimpik.

Kecederaannya yang tertusuk kayu ketika beraksi dalam final keirin Piala Dunia Manchester 2011 mendapat perhatian meluas seluruh dunia dan ramai berpendapat, karier Azizul sudah berakhir.

Tatkala ramai atlet yang tercedera dan kemudian mengaku kalah, berbeza pula dengan Azizul.

Kecederaan itu menjadikan dia lebih berdisiplin dalam sesi latihan, pengajian, menguruskan keluarga dan kewangan.

Pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu melalui proses penyembuhan yang rumit dan mencipta kejutan apabila mara ke final Olimpik London 2012.

Malah, kemalangan itu menjadi titik kebangkitan dalam kejayaannya di Rio.

Lima bulan menjelang Olimpik Rio, Azizul sudah tahu dia akan meraih pingat. Ikuti laporan kedua atlet bertubuh kecil namun berjiwa besar ini, esok.