Jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang, tidak memerlukan nasib, sebaliknya dia membuktikan dirinya berada di dalam kelas tersendiri untuk menundukkan juara Sukan Asia Jakarta-Palembang, Jai Angsuthasawit, dalam aksi final keirin Kejohanan Berbasikal Trek Grand Prix (GP) Asia Tenggara 2018, hari ini.

Aksi final di Velodrom Nasional Malaysia, Nilai, pagi tadi menyaksikan Azizulhasni meninggalkan jauh barisan pesaingnya untuk merangkul pingat emas.

Juara Sukan Asia, Jai, dipaksa berputih mata apabila menamatkan saingan di tempat kelima, sekali gus wujud persepsi bahawa pelumba Thailand tersebut hanya menang atas faktor nasib di Indonesia bulan lalu.

Azizulhasni secara peribadi sudah melupakan kekecewaan dalam Sukan Asia Indonesia dan kemenangannya bukanlah bertunjangkan faktor pembalasan dendam kepada Jai.

"Fokus saya bukan untuk menebus kekalahan dalam Sukan Asia lalu. Saya sudah melupakannya. Dalam perlumbaan, ada kalanya kami akan melakukan kesalahan dan tidak bernasib baik. Itu perkara biasa," kata Azizulhasni.

Bagi Jai pula, dia jelas kecewa dengan aksinya di peringkat final.

"Saya agak kecewa dengan perlumbaan ini.

"Saya melakukan segalanya seperti dalam Sukan Asia lalu. Mungkin saya agak kepenatan kerana terlebih dahulu beraksi dalam acara pecut berpasukan," katanya.

Dua emas diraih Azizulhasni dalam kejohanan itu dilihat cukup untuk dijadikan bekalan sehingga Februari nanti apabila dia dan rakan-rakannya akan bersaing untuk tujuh kejohanan utama bagi mengutip mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Kejohanan terdekat Azizulhasni adalah Piala Dunia Berbasikal Trek di Paris yang akan bermula 19 Oktober ini.

"Tahap peringkat Asia dan dunia amat berbeza, namun ini adalah permulaan yang baik buat saya. Saya tahu saya tidak jauh ketinggalan di belakang dan kami akan teruskan usaha menjelang Kejohanan Dunia nanti," tambah Azizulhasni.