Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, tidak akan meletakkan jawatannya jika memenangi kerusi timbalan presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam mesyuarat agung tahunannya Sabtu ini walaupun tindakan itu dibimbangi mencetuskan konflik dalaman.

Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) pernah menggantung Kuwait, India, Ghana dan Panama kerana wujud campur tangan kerajaan dalam majlis Olimpik negara masing-masing.

Bagaimanapun, Azim berpendapat kedudukannya tidak akan mempengaruhi keputusan MOM walaupun jika memenangi jawatan kedua tertinggi badan induk itu.

"Saya rasa ia (kedudukan saya ini) tiada masalah. Lainlah kalau ia melibatkan menteri dalam Kementerian Belia dan Sukan.

"Kalau semua perkara remeh-temeh seperti ini kita nak ambil kira, susahlah... Perkara apa yang tidak melibatkan kerajaan?" kata Azim.

Sebelum ini, Datuk Seri Norza Zakaria telah meletakkan jawatan selaku pengerusi ISN selepas diberi mandat memikul jawatan presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tahun lalu kerana bimbang ia akan mencetuskan isu campur tangan kerajaan.

Azim akan dicabar Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Megat Zulkarnain Omardin, untuk jawatan timbalan presiden MOM.

Sementara itu, Azim selaku ketua kontinjen negara ke Sukan Asia 2018 di Indonesia, Ogos depan, telah menetapkan semua atlet perlu menjalani ujian doping sebelum sebelum berlepas ke Jakarta dan Palembang.