Azeem mahu ruang masa dua tahun

Oleh Staff Writer 17 November 2019 4043
Azeem mahu ruang masa dua tahun
Usain Bolt Malaysia, Muhammad Azeem Mohd Fahmi, mahukan tempoh dua tahun lagi untuk menyertai Sukan SEA selepas memecahkan rekod 200 meter bawah 16 tahun Kejohanan Olahraga Innotex Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) hari ini.

Azeem, 15, enggan tergesa-gesa untuk ke kancah senior tatkala dia mahu menikmati keseronokan beraksi di peringkat remaja sebelum menggalas cabaran lebih berat.

Dalam aksi final 200m B-16, dia tiada masalah untuk meraih pingat emas dengan catatan 21.45 saat, sekali gus memperbaiki catatan peribadi kedua terbaik musim ini sambil mengatasi pencapaian atlet senior.

"Insya-Allah ketika saya berusia 17 tahun nanti. Ketika itu, mungkin badan saya sudah bersedia. Untuk ke Sukan SEA, saya harap semua dapat bersabar," katanya.

Pelari kelahiran Perak itu mencipta sensasi semalam apabila mencatat 10.57s dalam final 100m B-16, lebih pantas daripada jaguh senior seperti Jonathan Nyepa dan Khairul Hafiz Jantan yang akan beraksi di pentas Sukan SEA Filipina.

Ia mencetuskan perdebatan mengenai proses pemilihan atlet ke temasya itu yang berbaki kurang dua minggu lagi.

"Alhamdulillah, mungkin semalam rezeki saya tetapi saya yakin Khairul Hafiz boleh lakukan sesuatu yang lebih baik."

Sementara itu, kuartet 4x100m campuran negara memperbaharui catatan terbaik apabila meraih emas dengan masa 42.53s.

Kuartet dibarisi Azreen Nabila Alias, Jonathan, Zaidatul Husniah Zulkifli dan Nixon Kennedy itu tampak sudah sedia untuk mencabar dalam Sukan SEA Filipina selepas lancar melakukan pertukaran baton.

Catatan itu lebih pantas berbanding penampilan sulung mereka dalam Kejohanan Perak All Comers bulan lalu dengan 43.91s.

Perak menjadi milik Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) sambil Innotex A mengutip gangsa.

"Ini acara kali pertama dimainkan dalam Sukan SEA, jadi kami tidak tahu catatan masa itu boleh membutirkan pingat emas atau tidak. Jadi, bagi saya, catatan itu sudah baik," kata Zaidatul Husniah.

Acara itu diperkenalkan buat kali pertama dalam Sukan SEA tahun ini, malah akan dipertandingkan dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen