Skuad berpasukan tenis membuktikan mereka juga mampu menjadi penyumbang pingat buat kontinjen Malaysia dengan meraih satu perak dan satu gangsa biarpun sebelum ini langsung tidak diberikan sebarang harapan dalam Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2018, semalam.

Skuad tenis negara hadir ke Naypyidaw, Myanmar, tanpa meletakkan sebarang sasaran memandangkan kesemua pemain yang tersenarai langsung tidak mempunyai pengalaman beraksi di pentas kompetitif.

Skuad kendalian Ruffian Ridzar itu tidak mempunyai tempoh yang lama untuk melakukan persiapan apabila hanya dikumpulkan sejak Oktober lalu bagi kem latihan pusat.

Skuad lelaki berpasukan negara mencipta kejutan apabila mara ke final, namun terpaksa akur dengan kehebatan Thailand apabila kedua-dua pemain perseorangan, Sheikh Ameer Abdullah dan Mohd Azrul Eksan, tumpas kepada lawan masing-masing.

Menurut Sheikh Ameer: "Ini kempen pertama skuad tenis negara dalam AUG. Dengan memenangi perak, ia pencapaian yang baik.

"Mungkin kami akan memenangi emas dalam edisi seterusnya."

Sementara itu, prestasi skuad wanita juga tidak mengecewakan apabila sekurang-kurangnnya meraih pingat gangsa biarpun tewas kepada tuan rumah, Myanmar, 2-1 dengan membariskan pemain seperti Aznor Qistina Mastura Azri dan Khadijah Najwa Latfy.

"Kami merupakan pendatang baru dalam saingan AUG.

"Kami tidak menetapkan sebarang sasaran pingat tetapi kami berjaya mendapatkan perak, ia satu pencapaian yang tinggi untuk pasukan tenis," ujar Ruffian.

Kejayaan meraih pingat dalam acara berpasukan menyemarakkan lagi semangat kem tenis negara menjelang acara individu yang akan bersambung hari ini.

"Barisan pemain perseorangan dan beregu negara akan bertemu wakil Thailand.

"Kami pernah bertemu mereka dalam aksi sebelum ini, jadi kami akan cuba berikan yang terbaik dan mengintai untuk melakar kejutan," kata Ruffian lagi.