Sentimen tuan rumah memainkan peranan dalam penentuan juara setelah skuad karate negara terpaksa akur hanya meraih pingat perak dalam acara kata berpasukan wanita dalam Sukan Universiti Asean (AUG) 2018 di Stadium Tertutup Wunna Theikdi, Nay Pyi Taw, Myanmar.

Malaysia menampilkan tiga muka baru, iaitu Khaw Yee Voon, Chang Sin Yi dan Tang Hui Yi, dalam acara itu dan biarpun berbekalkan hanya 12 hari latihan pusat untuk menghadapi temasya itu, mereka bertiga tetap optimis untuk meraih emas dalam penampilan pertama di pentas AUG.

Menentang tuan rumah di pentas final, mereka terpaksa akur meskipun sudah menampilkan rutin yang kemas dalam acara kata, namun ia belum cukup untuk memikat hati juri apabila memberikan kemenangan kepada Myanmar.

"Sudah tentu kami cuba mendapatkan emas dan kami telah melakukan yang terbaik. Saya berpuas hati dengan persembahan pasukan saya," kata Khaw Yee.

Khaw Yee turun berentap kemudian dalam acara individu dan sekali dia sekadar meraih gangsa tatkala emas menjadi milik tuan rumah menerusi Thazin Aye sementara wakil Thailand, Tararattanakul Monsicha, meraih perak.

"Daripada segi teknikal, kami juga telah meningkat. Sudah tentu daripada segi kepantasan tetapi aura persembahan perlu diperbaiki."

Sementara itu, skuad bola sepak negara akhirnya merakamkan kemenangan pertama apabila menundukkan Laos 3-0 semalam sekali gus menempah slot penentuan pingat gangsa.

Malaysia turun dengan misi wajib menang selepas hanya mampu mencatat dua seri dan tewas sekali sebelum ini.

Walaupun impian untuk ke final tidak kesampaian setelah Myanmar mengejutkan juara bertahan, Thailand, 1-0 dalam aksi peringkat kumpulan, ia masih tidak mematahkan semangat Malaysia memburu kemenangan.

Malaysia membuka tirai jaringan pada minit ke-32 hasil rembatan pemain UiTM FC, Anwarul Hafiz Ahmad, untuk mendahului 1-0 sebelum K. Rueben menambah gol kedua 10 minit kemudian.

Skuad negara tidak menunggu lama untuk terus menjarakkan kedudukan dalam babak kedua apabila Anwarul sekali lagi meledak pada minit ke-46 dan kedudukan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

"Semestinya saya lega kerana dalam tiga aksi sebelum ini, kami tidak mendapat sentuhan jaringan. Perlawanan menentang Laos, tiga gol sudah tentu memberi petanda baik," kata pengendali skuad negara, Yazli Yahya.

"Sebelum ini, penyerang tidak menyumbat gol dan syukur dua jaringan saya itu membantu pasukan meraih kemenangan pertama," tambah Anwarul.