Skuad karate negara cemerlang menyumbang dua pingat emas menerusi acara kumitee lelaki dalam Sukan Universiti Asean (AUG) 2018 di Nay Pyi Taw, Myanmar, petang tadi.

Prem Kumar Selvam terpaksa menanti selama empat tahun untuk kembali meraih pingat emas dalam kategori B-55 kilogram.

Prem menundukkan lawan dari Thailand, Soda Worakan, dengan keputusan 2-0.

Ia merupakan pingat emas kedua peribadi buat atlet itu dalam AUG selepas turut merangkul pingat emas ketika edisi di Palembang pada 2014.

"Saya tidak mengeluarkan 100 peratus usaha dalam perlawanan itu.

"Apa yang penting adalah saya memenangi perlawanan," katanya.

Seorang lagi wakil negara, Muhammad Arif Afifuddin, turut cemerlang dalam penampilan AUG pertamanya.

Arif menundukkan atlet Thailand, Saiya Sondat Pooris, 4-1 bagi meraih emas acara B-67kg.

"Saya merancang sebaiknya strategi bagi menghadapi lawan.

"Berdasarkan arahan daripada jurulatih, saya dapat memenangi perlawanan dengan mudah," katanya.