AUG: Aqil rangkul emas acara 100m

Oleh Staff Writer 16 Disember 2018 544
AUG: Aqil rangkul emas acara 100m
Daripada raja pecut Sukan Malaysia (Sukma), Muhammad Aqil Yasmin boleh berbangga apabila menakluk kejohanan bertaraf Asia Tenggara pula selepas mengungguli acara reben biru 100 meter Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2018, hari ini.

Malaysia mempunyai dua wakil dalam saingan akhir 100 meter pecut lelaki, iaitu Jonathan Nyepa dan juga Aqil.

Namun tanpa disangka, Aqil lebih menonjol apabila unggul untuk menewaskan pesaing yang lain dengan catatan 10.53 saat, rekod terbaik untuk dirinya.

Dia tidak menyangka akan dapat meraih emas dalam acara ini, apatah lagi ini merupakan penampilan pertamanya berentap dalam AUG, bersaing dengan beberapa pelari yang mempunyai pengalaman beraksi dalam pentas Sukan SEA.

Tempat kedua milik atlet Indonesia, Eko Rimbawan, sementara rakan sepasukan, Jonathan Nyepa, meraih gangsa.

"Saya bersyukur di atas kejayaan meraih emas dalam penampilan pertama dalam saingan AUG," kata Aqil.

Sementara itu, bagi saingan wanita, sandaran utama, Zaidatul Husniah Zulkifli, kempunan untuk menutup tahun 2018 dengan meraih emas setelah akur dengan seteru dari Singapura, Veronica Shanti Pereirra.

Zaidatul sekadar mencatat 11.88s untuk meraih perak sementara gangsa milik pelari Vietnam, Nguyen Thi Oanh.

"Bukan mudah untuk melakukan catatan 11.88s dalam kondisi saya sekarang. Saya telah mencuba yang terbaik untuk Malaysia," kata Zaidatul.

Sementara itu, wakil negara dalam acara lompat tinggi, K. Prakash, yang baru sahaja pulih daripada kecederaan pergelangan kaki kiri, masih berjaya memberikan cabaran dalam saingan itu.

Biarpun gagal untuk mengulangi aksi ketika di Singapura dua tahun lalu, Prakash masih boleh berbangga untuk membawa pulang gangsa setelah melakar 2.06 meter, beza 0.02m sahaja dengan pemenang pingat perak, Rizky Ghusyata Pratama dari Indonesia.

Peserta Thailand, Tawam Kaeodam, terlalu sukar untuk ditentang setelah membuat catatan 2.20m untuk meraih emas.

"Saya sangat gembira kerana dapat meraih gangsa untuk Malaysia. Walaupun gagal melakukan lompatan terbaik, kemenangan ini akan saya gunakan untuk mempertingkatkan lagi persembahan pada masa akan datang," katanya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen