Perjuangan barisan atlet negara di Nay Pyi Taw, Myanmar akhirnya selesai apabila Sukan Universiti Asean (AUG) Ke-19 secara rasminya melabuhkan tirai semalam dengan upacara penutup berlangsung penuh warna-warni.

Upacara yang berlangsung di Pusat Sukan Wunna Theikdi, Nay Pyi Taw itu dimulakan dengan persembahan beberapa artis tempatan Myanmar serta sajian persembahan kebudayaan, disusuli perarakan masuk kontinjen yang bertanding.

Apa yang menarik, atlet berarak masuk bukan lagi mengikut negara masing-masing, sebaliknya berdasarkan jenis sukan yang disertai bagi meneruskan semangat Asean dalam kalangan peserta yang mengambil bahagian.

Upacara penutup itu dirasmikan oleh Menteri Sukan dan Kesihatan Myanmar, Dr. Myint Htwe, dan bendera AUG diserahkan kepada Pengerusi Majlis Sukan Universiti Asean (AUSC), Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan.

Malaysia meraih 37 emas, 43 perak dan 49 gangsa dalam edisi kali ini, sekali gus mencatat kejayaan jauh lebih baik ketika di Singapura 2016 apabila sekadar membawa pulang 27 emas, 29 perak dan 33 gangsa.

Bagaimanapun, daripada segi kedudukan keseluruhan, Malaysia gagal untuk menempatkan diri di tangga kedua terbaik dan menyamai kedudukan ketiga seperti ketika edisi dua tahun lalu.

"Segalanya sangat bagus dan meriah. Mereka melakukan sesuatu yang berbeza apabila mengasingkan atlet mengikut sukan," kata atlet petanque negara, Syed Akmal Fikri Syed Ali.

"Saya sedikit sedih kerana sudah berada lama di sini. Segalanya bagus dan bertaraf dunia. Namun, untuk pulang dan meraikan kejayaan bersama keluarga juga sesuatu yang baik," tambah atlet catur kebangsaan, S. Subramaniam.