Kejayaan mengekalkan kejuaraan Liga Hoki Premier dan Piala TNB musim ini menyaksikan Pasukan Hoki Terengganu (THT) menerima insentif RM140,000 daripada Kerajaan Negeri Terengganu, sekali gus menjadi penerima insentif terbesar dalam Majlis Penggiat Sukan, Penaja dan Atlet Olimpik di Kuala Terengganu, semalam.

Lapan pemain THT dari negeri itu, Mohd Shahrun Nabil, Fitri Saari, Faizal Saari, Shahiram Zali, Hafizuddin Othman, Wan Mohd Hazrul, Amirul Mirza Rozi dan Mohd Hazrul Faiz turut diberikan ganjaran satu lot kediaman mengikut daerah masing-masing.

Pasukan ragbi Terengganu yang menjuarai Kejohanan Ragbi 7 Sebelah Kebangsaan, Ogos lalu, pula menerima insentif sebanyak RM80,000 manakala skuad kuda lasak yang menyertai Kejohanan Dunia di Slovakia, bulan lalu, membawa pulang RM35,000.

Pencapaian Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG) dalam Le Tour de Langkawi (LTDL) 2016 juga menyaksikan pasukan itu diberikan insentif berjumlah RM15,000.

Turut diraikan dalam majlis itu ialah lima atlet Sukan Olimpik Rio dari Terengganu yang dihadiahkan RM10,000 seorang kepada Fatehah Mustafa (berbasikal), Khairul Anuar Mohamad (memanah), Mohd Hafifi Mansor (angkat berat) dan atlet Paralimpik, Mohamad Azwar Bakar (ping pong) manakala Azizulhasni Awang yang meraih gangsa diberikan RM20,000 serta sebuah apartment.

Pendaki Gunung Everest, Fairul Adib Mohamad Yusof, pula menerima satu lot kediaman di daerah Kuala Nerus.

Menurut Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman, pencapaian sukan di Terengganu membuktikan pembangunan yang berterusan berjaya membuahkan hasil serta mengharumkan nama negeri itu.

“Sebanyak RM590,000 diperuntukkan untuk keseluruhan insentif, tidak termasuk nilai tanah yang diterima masing-masing.

“Kecemerlangan atlet Terengganu membuktikan legasi kelangsungan sukan dan pihak kami akan terus memberi komitmen untuk terus memperkasakan sektor sukan di negeri ini.

“Kejayaan di peringkat global telah mencetuskan satu transformasi dalam menonjolkan keunikan penjenamaan Terengganu sebagai kuasa besar arena sukan yang terunggul di rantau ini,” katanya.