Seramai 34 atlet Sukan Malaysia (Sukma) 2018 bakal membawa cabaran Sabah dalam Sukan Persahabatan BIMPNT-EAGA Kee-10 di Brunei Darussalam, bermula Jumaat hingga Ahad ini.

Kesemua atlet Sukma Sabah itu antara 74 atlet yang diterbangkan kontinjen Sabah ke temasya itu, termasuk 31 pegawai.

Bagaimanapun, kontinjen itu tidak menetapkan sebarang pingat, namun objektif utama mereka menyertainya adalah untuk tujuan pembangunan sukan di samping mengeratkan lagi perpaduan dalam kalangan semua negara yang bertanding.

"Sabah akan mengambil bahagian dalam lapan acara sukan, termasuk akuatik, olahraga, boling padang, karate, pencak silat, sepak takraw, taekwondo serta wushu.

"Penyertaan Sabah dalam sukan persahabatan ini juga merupakan pentas yang baik kepada atlet pelapis untuk menguji keupayaan mereka serta membuat persiapan awal untuk menghadapi kejohanan yang lebih besar akan datang, termasuk Sukma 2020 di Johor," kata Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Frankie Poon.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah, Terrance E. Pudin, dalam majlis penyerahan bendera kepada kontinjen Sabah di Kota Kinabalu, hari ini.

Selain Malaysia, kejohanan itu akan disertai Indonesia, Filipina dan Darwin NT (Australia).