Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Sabah, menerusi Majlis Sukan Sabah, memberikan insentif RM500 kepada kesemua 162 atlet di Sekolah Sukan Malaysia (SSM) Sabah, yang berpusat di Jalan Universiti, Sepanggar, Kota Kinabalu.
Insentif berkenaan disampaikan oleh Setiausaha Tetap KBS Sabah, Awang Damit Awang Anak, yang mewakili Menteri Belia dan Sukan negeri, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan, semalam.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah pengarah Majlis Sukan Sabah, Terrance Pudin, dan pemangku pengetua SSM Sabah, Madsarin Rahim.
Dalam teks ucapan Tawfiq yang disampaikan Awang Damit, dia mengingatkan kepada para atlet muda berkenaan, supaya berlatih bersungguh-sungguh untuk mencipta kejayaan pada masa akan datang.
"Pada masa sama, para atlet juga perlu bersungguh-sungguh dalam pelajaran selain mengamalkan disiplin yang tinggi, serta tidak terbabit dalam sebarang aktiviti tidak sihat termasuk pengambilan dadah terlarang.
"Kerajaan sentiasa bersedia untuk membantu bukan saja atlet SSM Sabah, tetapi semua atlet negeri ini bagi meningkatkan prestasi mereka," katanya.
Sementara itu, Tawfiq juga berkata, pihaknya sedia untuk membantu atlet yang kurang berkemampuan untuk membayar yuran persekolahan mereka, termasuk memberikan subsidi sekiranya mereka menunjukkan prestasi baik dalam kejohanan peringkat kebangsaan dan antarabangsa.