Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 bebas daripada penggunaan sebarang bahan terlarang apabila lapan sampel darah terakhir disahkan negatif, sekaligus melegakan Pengarah Anti-Doping Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF), Dr Badrul Amini Abd Rasid.

Walaupun keputusannya mengambil masa dua bulan untuk diketahui, namun apa yang penting semua 154 sampel disahkan bebas daripada bahan terlarang.

Ia membuktikan atlet para memiliki kesedaran lebih tinggi mengenai bahan terlarang berbanding atlet normal.

“Daripada 154 sampel, 146 ujian air kencing negatif dan lapan sampel darah negatif ,” kata Dr Badrul Amini.

"Masalah dalam makmal di India merupakan faktor keputusan ini lambat diperoleh. Amalan GST yang baru bermula di negara itu melambatkan proses yang mahu dijalankan."

Situasi ini berbeza dengan Sukan SEA Kuala Lumpur yang mencatat tiga kes positif doping.

Salah seorang atlet terbabit ialah penerjun negara, Wendy Ng Yan Yee, yang sedang menunggu laporan Jawatankuasa Perubatan dan Anti-Doping Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) sebelum dijatuhkan hukuman.