Sembilan jenis sukan akan diberi penghormatan untuk menjadi sebahagian daripada program Pra-Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 menerusi satu kejohanan jemputan yang akan dianjurkan Februari depan.

Perkembangan ini disahkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan chef-de-mission Malaysia ke Sukan Asia 2018, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi.

Sembilan sukan itu termasuk olahraga, silat, tinju, bola keranjang serta memanah compound dan recurve.

Perkhabaran ini sudah pasti memberangsangkan buat skuad recurve yang sebelum ini difahamkan tidak menerima jemputan ke saingan pemanas badan Sukan Asia itu.

"Kami akan menghantar (atlet untuk) semua acara untuk kejohanan pra-Sukan Asia ini. Ia adalah untuk memberikan gambaran buat atlet menghadapi saingan di venue kejohanan yang berlangsung pada Ogos tahun depan," katanya.

Azim juga berpeluang melihat sendiri perkembangan persiapan Indonesia buat kali pertama 13 Disember ini.

Ketika ini, Jawatankuasa Penganjuran Sukan Asia Indonesia (INASGOC) sedang bertungkus-lumus menyiapkan infrastruktur baru, khusus di Kompleks Sukan Jakabaring di Palembang, termasuk sistem pengangkutan Transit Aliran Ringan (LRT).