Seramai 120 atlet serta lebih 40 kakitangan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) menerima kit bantuan keperluan harian ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak koronavirus baru (Covid-19).

Antaranya atlet angkat berat, pelayaran, kanu, bola baling, olahraga serta beberapa lagi acara sukan selain anggota kakitangan dan pengawal keselamatan MSNT.

EXCO Belia, Sukan dan NGO, Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata bantuan itu setakat ini diberikan kepada atlet dan kakitangan di daerah terdekat terlebih dahulu.

Menurutnya, tujuan bantuan itu adalah untuk meringankan beban keluarga atlet yang memerlukan yang sudah dikenal pasti menerusi pegawai bagi setiap acara sukan.

"Pemberian kit keperluan harian ini melibatkan daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu sebelum diperluaskan ke seluruh negeri.

"Diharapkan bantuan ini membantu mereka yang memerlukan sepanjang PKP," jelas Wan Sukairi selepas menyempurnakan majlis itu di Dewan Serbaguna MSNT, kelmarin.

Kredit foto: Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT)