Atlet angkat berat Sabah teruskan latihan di rumah

Oleh Willie Jude 17 Mei 2020 22
Atlet angkat berat Sabah teruskan latihan di rumah
Atlet angkat berat Sabah setakat ini masih diarahkan untuk meneruskan latihan di rumah masing-masing walaupun Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) membenarkan penggunaan kemudahan sukan di semua kompleks sukan di negeri berkenaan mulai esok. 

Presiden Persatuan Angkat Berat Sabah (SWA), Philip Gisan, berkata keputusan itu dibuat demi keselamatan semua yang terlibat dengan latihan di pusat latihan hanya akan dibuat sekiranya benar-benar ada keperluan dan jika keadaan mengizinkan. 

"Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah dan Lembaga Sukan Sabah juga akan membantu dan meluluskan penggunaan peralatan angkat berat ke rumah atlet terlibat. 

"Saya harap penggunaan peralatan angkat berat ini sudah boleh digunakan minggu depan. 

"Latihan atlet di rumah akan dibantu dan dipantau oleh jurulatih menerusi talian internet," katanya. 

Philip turut mengingatkan semua ahli SWA termasuk atlet mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam apa juga aktiviti yang dilakukan termasuk semasa berlatih.

Terdahulu, KBSS telah memutuskan untuk membuka semula kemudahan di kompleks sukan di bawah pengurusan Lembaga Sukan Sabah bermula esok tetapi hanya untuk atlet negeri dan negara sahaja.

Antara sukan yang dibenarkan menggunakan kemudahan di kompleks sukan di Sabah itu adalah  olahraga di trek sintetik (kecuali trek di Kompleks Sukan Kota Kinabalu yang belum dibenarkan penggunaannya), golf, tenis, boling padang, memanah, petanque, skuasy, ping pong, karate, taekwondo dan angkat berat.

Tentang Penulis

Willie Jude

Komen