Jurulatih renang kelahiran Great Britain, Christ Martin, adalah antara lima calon pengendali baru skuad kebangsaan yang disenaraipendekkan Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) bagi menggantikan Paul Birmingham, bulan depan.

Skuad renang negara makin hampir untuk mendapat jurulatih baru.

ASUM sudah menyenaraipendekkan 30 calon yang berminat menggantikan Birmingham yang meletak jawatan selepas tamat Sukan Asia Indonesia, September lalu.

Selain Martin, turut tersenarai adalah pengendali kelahiran Amerika Syarikat (AS), Dr Micheal Preydune.

ASUM akan mengadakan perbincangan dengan Majlis Sukan Negara (MSN) minggu depan untuk memilih calon terbaik.

"Kami kini di bawah asuhan pembantu jurulatih negara, Jeffrey Ho.

"Bagi saya, semuanya berjalan lancar dengan kemudahan masih digunakan, gimnasium termasuk program latihan.

"Lagipun, Jeffry sudah menimba pengalaman di bawah Birmingham selama enam tahun, sudah tentu dia mempunyai pengalaman luas juga," kata perenang negara, Welson Sim.

Menurut seorang lagi perenang negara, Tern Jian Han: "Setiap jurulatih mempunyai kekuatan tersendiri.

"Kami tiada masalah dengan sesiapapun yang akan dilantik nanti."

Skuad negara dijadual menyertai Piala Presiden di Ipoh, Perak, bermula 23 November ini.

Ia mungkin tugas pertama pengendali baru negara itu sekiranya proses pemilihan berjalan lancar.