Aspek kewangan, komitmen harus diteliti

Oleh Penulis Jemputan 21 November 2017 99
Aspek kewangan, komitmen harus diteliti
Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Tampar Selangor (SVA), Shamsaimon Sharif, melihat faktor kewangan dan komitmen pemain dalam bentuk jangka panjang sebagai cabaran utama jika mahu mewujudkan Liga Bola Tampar Kebangsaan.

Dalam masa sama, dia berharap cadangan itu mampu diwujudkan dengan kekuatan kewangan yang baik bagi membantu persatuan negeri yang berdepan isu dana.

Penubuhan Liga Bola Tampar Kebangsaan kini menjadi agenda utama Presiden Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) yang baru dipilih, Datuk Benny Hoe.

Shamsaimon, yang juga penolong jurulatih kebangsaan, begitu gembira dengan idea tersebut yang pasti memberi nilai dalam menambah kekuatan skuad kebangsaan di pentas antarabangsa.

"Kita perlu mengkaji peruntukan untuk setiap negeri, mungkin ada dana daripada MAVA. MAVA juga mungkin harus mencari penaja-penaja yang besar dan liga sendiri akan dapat diwujudkan, sama seperti Sepak Takraw League (STL) untuk sepak takraw," katanya.

Sementara itu, Shamsaimon mendedahkan mutu sukan bola tampar memerlukan banyak peningkatan, terutama daripada segi infrastruktur kerana sehingga kini, masih belum ada gelanggang latihan rasmi buat MAVA.

Justeru, dia melihat banyak aspek perlu dilakukan Benny dalam usaha menjadikan bola tampar antara sukan disegani di negara ini.

"Jika kita ingin mencari pemain, ia perlu dimulakan daripada peringkat umur bawahan. Sebelum ini, MAVA memang ada menganjurkan beberapa kejohanan untuk B-14 dan B-16 tetapi kita perlu meneliti penyertaan dalam setiap penganjuran," katanya lagi.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen