Pemain Kuala Lumpur, Muhd Ashraf Haiqal Rizal, mengekalkan kejuaraan acara perseorangan lelaki Kejohanan Ping Pong Malaysia Ke-53, selepas menewaskan pemain Selangor, Leong Chee Feng, dalam aksi akhir di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu, petang tadi.

Muhd Ashraf mempamerkan corak permainan agresif pada penghujung perlawanan untuk menang 12-10, 11-9, 12-10, 4-11, 11-2, sekaligus memaksa Chee Feng melupakan hasrat membalas kekalahan final tahun lalu.

Kemenangan Muhd Ashraf sedikit mengubat kegagalannya yang tewas dalam acara beregu lelaki selepas gandingannya bersama Wong Chun Cheun tunduk 5-11, 10-12, 7-11 kepada beregu Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Muhd Shakirin Ibrahim dan Chai Kian Beng.

Acara perseorangan wanita pula menampilkan juara baru selepas pemain Selangor, Ting Hie Phin, mengatasi rakan sepasukannya, Lee Rou You, dalam aksi sengit yang berlanjutan ke set penentuan sebelum menang 11-9, 13-11, 11-7, 12-14, 14-16, 1-11, 11-5.

Hie Phin dan Rou You turut menguasai acara beregu wanita selepas pasangan itu menewaskan gandingan Amanda Wong Ee Ling-Kuan E Xian 8-11, 11-4, 11-6, 11-8.

Kemenangan itu diteruskan Hie Phin dalam acara beregu campuran selepas gandingannya bersama Choong Javen menang 13-11, 10-12, 14-12, 11-7 ke atas Chee Feng-Rou You.

Perlawanan akhir acara berpasukan lelaki dan wanita akan berlangsung, pagi esok.