Atlet negara, Muhamad Ashraf Haiqal, berharap agar Persatuan Pingpong Malaysia (TTAM) tidak memberikan halangan untuknya terus berkelana di Jerman tahun depan selepas mempamer aksi terbaik dalam Kejohanan Kebangsaan minggu lalu dengan meraih dua pingat emas dan satu perak.

Kejayaan itu mengatasi pencapaiannya dalam kejohanan sama tahun lalu apabila meraih perak bagi acara individu.

Ternyata pengalaman bersama kelab SB DJK Rosenheim di Jerman memberi impak positif kepada Ashraf untuk terus mempertingkatkan prestasi selain dapat menguji kemampuan diri dengan aksi lebih kompetitif di sana.

Justeru, Ashraf tidak melihat TTAM mempunyai sebab untuk menghalangnya terus meraih pengalaman bersama kelab itu tahun depan kerana ia sama sekali tidak akan menjejaskan persiapan skuad negara ke Kejohanan Ping Pong Dunia di Budapest dan juga Sukan SEA Filipina.

"Ia adalah tahun pertama saya, jadi diharapkan ia berterusan sehingga tamat. Apapun, saya akan berbincang dengan jurulatih dan persatuan terlebih dahulu.

"Kini saya lebih yakin ketika kejohanan. Mengenai teknik, saya baru ke sana tiga bulan dan ia mengambil masa. Saya boleh katakan kepada diri sendiri bahawa ia lebih kepada keyakinan ketika bertanding dalam kejohanan," katanya.

Ashraf dijangka terbang semula ke Jerman, Februari depan jika segala urusan bersama TTAM selesai dan sekiranya dia tidak dibenarkan, pemain berusia 24 tahun itu berharap TTAM memiliki perancangan latihan lebih baik untuk mereka mempersiapkan diri musim depan.

"Saya mungkin bermain dalam lima atau enam perlawanan. Ia bagus untuk saya jadikan persiapan sebelum menghadapi Kejohanan Dunia.

"Mungkin TTAM ada perancangan tersendiri kerana saya juga perlu mendengar jawapan daripada pihak mereka dan tidak boleh memaksa," tambah Ashraf.