Pemain ping pong negara, Ashraf Haikal Rizal, berada dalam dilema untuk memilih di antara tugasan bersama skuad negara atau meneruskan karier di Eropah bersama pasukan SB DJK Rosenheim di Jerman.

Ashraf berkelana selama tiga bulan di Jerman sejak Oktober lalu.

Dia berjaya mencipta impak bersama pasukan divisyen tiga yang berpengkalan di Bavaria itu.

Rosenheim masih berminat untuk menyambung kontraknya tahun depan, namun Ashraf dibelenggu beberapa permasalahan seperti permohanan visa kerja dan persetujuan daripada Persatuan Ping Pong Malaysia (TTAM).

"Ini peluang terbaik saya untuk mewakili sebuah pasukan Eropah memandangkan ia bukan peluang yang selalu datang.

"Saya mendapat banyak pelajaran sepanjang saya berada di sana dan mereka mempunyai liga yang amat kompetitif," katanya.

Ashraf perlu kembali ke Malaysia sekiranya khidmatnya diperlukan kem kebangsaan dan dia perlu berunding dengan majikannya, Rosenheim, untuk diberikan pelepasan.

Dia juga dijadualkan untuk bersaing dalam Sukan Universiti Asean (AUG) di Myanmar, bermula Ahad ini.

Bagaimanapun, dia terpaksa melupakan hasrat untuk membuat penampilan ketiganya dalam temasya itu apabila diarahkan untuk beraksi dalam Kejohanan Kebangsaan yang bakal membuka tirai, Jumaat depan.

"Pihak Rosenheim masih mahukan khidmat saya.

"Saya akan memanfaatkan waktu ini untuk berehat di Malaysia dan akan memutuskan keputusan nanti," tambahnya.