Kerja keras pemain skuasy wanita negara, Aifa Azman, semakin membuahkan hasil apabila dia disenarai pendek dalam dua anugerah Jelajah PSA termasuk Pemain Muda Terbaik musim 2019/2020.

Bahkan, pemain di ranking ke-58 dunia itu bakal berentap dengan empat lagi pemain termasuk senior skuad kebangsaan, Rachel Arnold, bagi anugerah Pemain Wanita Terbaik kategori 'challenger'.

Sekalipun teruja, Aifa tidak berselindung di sebalik kesukaran untuk membawa pulang dua anugerah itu.

Lantas, pengiktirafan itu menjadi pembakar semangat buatnya yang tidak sabar-sabar lagi untuk kembali ke gelanggang latihan.

"Saya tidak jangkakan kemenangan tetapi dapat tercalon pun sudah cukup baik.

"Saingan sangat sengit, misalnya Rachel yang memenangi kejohanan besar selain pencapaian tinggi dengan tiga lagi pesaing.

"Saya positif dalam situasi semasa dan ia menyuntik semangat saya untuk kembali beraksi," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Wan Muiz Wan Aziz.



Dua pemain negara yang pernah mengecapi cerita gemilang pentas skuasy dunia ialah Datuk Nicol David, yang turut diangkat selaku pemenang anugerah 'Greatest of All Time' pada 2018 dan 2015/16 termasuk anugerah Semangat Skuasy manakala gelaran Pemain Muda Wanita Terbaik 2017/18 pula menjadi milik bintang kelahiran Sungai Petani Kedah, S. Sivasangari.