Angkat berat: Aznil hanya ada enam tahun sebelum bersara

Oleh Muzaffar Musa 26 April 2020 37
Angkat berat: Aznil hanya ada enam tahun sebelum bersara
Jaguh angkat berat negara, Aznil Bidin, meletakkan sasaran untuk bersara pada usia 32 tahun.

Dengan usia yang sudah mencecah 26 tahun, atlet kelahiran Kedah itu hanya mempunyai tempoh enam tahun lagi bagi merealisasikan impiannya dalam sukan berkenaan.

Aznil mula mengharumkan nama negara apabila memenangi pingat emas dalam Sukan Komanwel di Gold Coast pada 2018.

Bagaimanapun, dia memilih untuk bersara pada usia 32 tahun bagi menumpukan perhatian terhadap keluarganya.

"Mungkin lagi satu (penyertaan) dalam Sukan Olimpik dan dua dalam Sukan Komanwel. Dalam usia 32 tahun.

"Mungkin faktor umur dan keluarga. Saya mahu meluangkan masa dengan keluarga," katanya.

Walaupun peluangnya untuk beraksi dalam Sukan Olimpik Tokyo tahun depan sudah tertutup selepas Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) digantung selama setahun gara-gara kes doping, Aznil mencekalkan hatinya untuk membawa misi sama dalam edisi di Paris pada 2024.

"Mungkin saya dapat lebih mempersiapkan diri menjelang Sukan Olimpik Paris kerana Sukan Olimpik di Tokyo merupakan penampilan pertama saya bagi mengenal temasya itu.

"Jika saya dapat ke Paris, saya mungkin lebih bersedia dan dapat mengharumkan nama negeri saya.

"Kerana di Kedah belum ada atlet yang dapat ke Sukan Olimpik, jadi saya nak cipta satu sejarah buat Kedah," tambahnya.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen