Kejohanan Piala Cabaran Asia Bawah 20 Tahun bakal menjadi ujian sulung kepada Andy Chang yang mengambil-alih tugas ketua jurulatih skuad hoki ais negara selepas Kristov Kovago tidak dilanjutkan kontrak Ogos lalu.

Andy bertindak selaku penolong jurulatih kepada Kovago dalam beberapa kejohanan sebelum ini, termasuk Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Dia yang merupakan bekas pemain kebangsaan menjelaskan mampu menjalankan amanah itu dan berharap semua pihak memberi sokongan kepadanya.

Malah, dia bersedia menukar gaya permainan pasukan berbanding di bawah tunjuk ajar Kovago sebelum ini.

"Walaupun saya berdepan tempoh tiga bulan sahaja sejak mula mengendalikan pasukan, ia tidak begitu sukar. Secara keseluruhan, pemain tampak bersedia.

"Gaya permainan pasukan tidak banyak perbezaan tetapi saya lebih menyentuh aspek agresif. Kami juga perlu berhati-hati apabila diserang," kata Andy.

Bagi Kejohanan Piala Cabaran Asia IIHF Bawah 20 Tahun, Andy melaungkan keazaman yang dia boleh membawa skuad negara muncul juara sekali lagi.

Namun, dia tidak mahu memandang rendah keupayaan tiga pencabar lain, iaitu Kyrgyzstan, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Filipina.

"Sudah tentu kami tidak boleh memandang rendah keupayaan lawan. Mereka mungkin telah meningkat dan mengkaji kekuatan kami.

"Kami akan tampil 110 peratus dalam setiap perlawanan."