Duo penerjun negara, Ahmad Amsyar Azman dan Leong Mun Yee, gagal meraih kedudukan podium selepas mengakhiri acara berpasukan 3 dan 10 meter campuran di kedudukan kelima dalam Kejohanan Akuatik Dunia FINA di Budapest, awal hari ini.

Mereka yang digandingkan buat kali pertama dalam acara ini gagal mempamerkan aksi memuaskan selepas mencatat 356.75 mata selepas enam terjunan.

Terjunan pertama sehingga keempat menyaksikan duo ini gagal menampilkan terjunan yang baik apabila berada di kedudukan ke-10 dengan 214.90m.

Dan dua terjunan terakhir menyaksikan mereka berjaya meraih mata tertinggi, dengan Amsyar mendapat 68.25m untuk melonjak ke tangga kelapan.

Selepas itu, Mun Yee mendapat 73.60m pada terjunan terakhir, bagaimanapun, ia sudah terlambat apabila mata terkumpul menyaksikan mereka sekadar berada di tangga kelima.

Acara ini dimenangi oleh pasangan Perancis, dengan perak dan gangsa milik penerjun Mexico dan Amerika Syarikat.