Bekas jurulatih skuad bola jaring negara, Aminah Asaari, mengambil keputusan untuk berehat seketika daripada kem kebangsaan untuk memberi perhatian kepada tugas untuk membangunkan kembali program pembangunan bola jaring di Johor.

Aminah pernah menyandang jawatan ketua jurulatih ketika skuad negara sekadar membawa pulang pingat perak daripada Sukan SEA Singapura 2015 sebelum menjadi pembantu kepada Tracey Robinson ketika memacu kejayaan emas di bumi sendiri, Ogos lalu.

Setelah semuanya berakhir, Aminah mengambil keputusan untuk berehat dan kembali semula ke Johor untuk menyambung tugas asalnya sebagai guru dan dalam masa yang sama, dia turut menjadi tulang belakang dalam membangunkan program latihan bola jaring di negeri itu.

“Sekarang, saya memang mahu berehat seketika daripada skuad kebangsaan. Tiga tahun saya tinggalkan pasukan Johor demi membantu pasukan negara.

“Saya bersama pasukan negara sejak Sukan SEA 2015 sehingga Sukan SEA 2017, dan kini sedang memulakan program pembangunan untuk atlet-atlet di Johor,” katanya.

Ketiadaannya bakal dirasai apabila skuad negara menghadapi satu kejohanan jemputan, Piala Negara-Negara di Singapura, 9 Disember depan.

Bagaimanapun, Aminah masih belum memberikan kata putus kerana jika khidmatnya masih diperlukan, dia akan kembali berulang-alik dari Johor Bahru ke Bukit Jalil, seperti apa yang dilakukannya sebelum ini.

“Sekiranya saya diminta untuk membantu pasukan negara, ia tidak menjadi masalah tetapi dalam masa yang sama, fokus saya tetap kepada pasukan Johor kerana saya berdepan tugas besar untuk membangunkan sukan bola jaring di sana,” katanya.