Pesilat negara, Muhammad Al Jufferi Jamari, menghampiri kejuaraan hatrik selepas menumpaskan pesaing dari Indonesia, Komang Harik Adi Putra, dalam aksi separuh akhir Kejohanan Pencak Silat Dunia 2016 di Gelanggang Olahraga Lila Bhuana, Bali, hari ini.

Juara bertahan itu menewaskan Komang 5-0 untuk mara ke final Kelas E Putera bagi memburu gelaran juara buat kali ketiga.

Aksi yang ditampilkan Jufferi kali ini dilihat begitu agresif jika dibandingkan dengan dua perlawanan sebelum ini.

Apa tidaknya, selepas menyaksikan insiden menimpa rakan senegara, Muhammad Zarish Hakim, semalam, Jufferi seperti menerima suntikan semangat untuk menebus maruah negara.

"Peminat pihak lawan memang kuat sebab saya lawan dengan orang Bali (tuan rumah). Jadi, bagi saya memang sukar untuk menang.

"Bagaimanapun, selepas memikirkan tanggungjawab yang saya galas dan dendam dengan apa yang menimpa Zarish semalam masih tersimpan, jadi saya lepaskan (lakukan)," katanya.

Dalam pertemuan suku akhir Kelas C Putera semalam, Indonesia diberikan kemenangan percuma oleh wasit meskipun Zarish tidak sedarkan diri akibat kecederaan.

Hanifan Yudaini jelas dilihat melakukan tendangan keras sehingga Zarish pengsan serta-merta.

Selain Al Jufferi, rakan senegara, Razak Ghazali, turut mara ke final bagi Kelas D Putera, hari ini.

Jika edisi lepas di Phuket, dia berdepan pesilat dari Vietnam, kali ini perlawanan dijangka lebih sukar apabila bakal menentang wakil tuan rumah, Iqbal Chandra Pratama.

"Mental saya perlu lebih kuat dan saya sentiasa fikir positif untuk menentang lawan tuan rumah.

"Seperti kita tahu, apabila menentang wakil tuan rumah, penonton dan wasit boleh mempengaruhi perlawanan. Jadi, mental saya kena kuat," kata Razak.