Agensi Anti Doping Malaysia (Adamas) memantau keputusan baki empat sampel air kencing atlet angkat berat negara yang dijangka diketahui pada bila-bila masa selepas Mohd Hafifi Mansor mendakwa dirinya menjadi mangsa khianat.

Adamas menguji sampel daripada tujuh atlet angkat berat negara selepas Hafifi didapati positif bahan terlarang jenis oxymetholone.

Keputusan tiga atlet yang diketuai atlet ranking pertama Komanwel, Azroy Hazal Wafi Izhar Ahmad, didapati negatif, sekaligus meninggalkan baki empat sampel untuk diketahui.

"Dia tergolong dalam kategori berpotensi tinggi untuk doping. Jika seorang atlet bermasalah, kami akan memantau secara keseluruhan.

"Bagi saya, ia sangat penting kerana ketika ini, sekiranya anda mahu diserapkan ke dalam Program Podium, sebagai contoh, keseluruhan sukan itu harus dipastikan bersih daripada sebarang masalah," kata Penolong Pengarah Adamas, Nishel Kumar.

Hafifi mendakwa menjadi mangsa khianat sebaik sahaja pulang daripada menjalani ujian sampel B di Sydney, Australia pada awal bulan ini.

Keputusan sampel Bnya belum diketahui, namun jika didapati bersalah, dia berdepan penggantungan empat tahun.

Selain Hafifi, penerjun negara, Wendy Ng Yan Yee, serta seorang atlet muay thai turut dipalit isu doping pada tahun ini.